10 Oktober 2014

Piket: Tindakan KTMB pecat pekerja agak drastik

KUALA LUMPUR 9 Okt. - Majlis Kesatuan Pengangkutan Antarabangsa (ITF) Malaysia kesal dengan tindakan yang diambil syarikat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) terhadap pekerja-pekerjanya yang menyertai piket bagi menyuarakan bantahan terhadap pihak pengurusan pada 9 Mei lalu.

Setiausaha Agungnya, Tan Sri Zainal Rampak (gambar) berkata, setakat ini, sebanyak 41 pekerja termasuk pemimpin Kesatuan Pekerja-pekerja Keretapi Malaya (RUM) iaitu Presiden, Naib Presiden, Setiausaha Agung, Bendahari dan barisan Exco serta ahli-ahli telah berhentikan.

Menurut beliau, sebanyak 18 pekerja digantung kerja manakala 97 pekerja lagi telah menerima notis tunjuk sebab dan dipanggil oleh pengurusan KTMB untuk siasatan dalaman.

"Majlis ITF Malaysia berpendapat, tindakan membuang kerja yang diambil oleh KTMB kepada mereka yang mengambil bahagian di dalam piket adalah tindakan yang drastik.

"Sepatutnya mereka tidak dikenakan tindakan sedemikian kerana hak berpiket secara aman merupakan tindakan yang dibenarkan dari segi undang-undang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zainal memberitahu, pengurusan KTMB sepatutnya berbincang dan berunding dengan RUM terlebih dahulu bagi mencari jalan penyelesaian dan mewujudkan silaturahim serta mengekalkan keharmonian di tempat kerja.

Beliau menegaskan, siasatan dalaman hendaklah dihentikan dan pekerja-pekerja yang telah ditamatkan perkhidmatan mesti diambil bekerja semula serta-merta kerana kebanyakan mereka telah lama berkhidmat dengan KTMB.

"Persoalannya, apakah KTMB dan kerajaan mengambil kira pekerja yang dibuang akan hidup melarat dengan mempunyai tanggungan keluarga, anak-anak mereka yang masih bersekolah dan juga tempat tinggal kerana mereka tinggal di kuarters yang disediakan KTMB," katanya.

Zainal berkata, pada masa yang sama, Majlis ITF Malaysia merayu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk campur tangan kerana dikhuatiri lebih ramai pekerja yang akan diberhentikan jika isu tersebut tidak diselesaikan.

sumber: UM